Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman menawarkan potongan separuh harga bagi semua kategori tiket masuk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini, bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata tawaran diskaun itu membolehkan ramai pelancong dapat berkunjung ke lokasi itu yang menjadi rumah kepada 88 spesies haiwan seperti harimau, orang utan, gajah, buaya tembaga dan pelbagai jenis burung.
"Sejak dibuka pada 11 April 2009, Zoo Kemaman telah merekodkan jumlah kedatangan pengunjung seramai 756,858 orang dan ia sebenarnya agak jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu iaitu melebihi tiga juta orang setahun," katanya dalam kenyataan media di sini.
Harga tiket selepas diskaun bagi dewasa ditetapkan pada kadar RM5 seorang, kanak-kanak lima tahun ke atas dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (RM3.50), berkumpulan 20 orang ke atas (RM2.50 seorang) manakala warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak empat tahun ke bawah adalah percuma.
- TAGS / KEYWORDS: