Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan lebih ramai wanita di luar bandar tampil aktif menyertai sektor pelancongan membabitkan industri kraf selepas pintu sempadan negara dibuka kepada pelancong antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pada tahun ini saja, seramai 1,340 usahawan kraf tangan wanita dibantu Kraftangan Malaysia dalam program meningkatkan kemahiran mereka.
Selain itu, katanya, seramai 1,873 pengusaha kraf tangan wanita berjaya memanfaatkan penggunaan platform seperti E-Kraf Bazar, MyCraftShoppe dan CraftOnTheGo untuk mempromosikan produk mereka di pasaran.
"Selain itu seramai 3,093 pemandu pelancong wanita dibantu MOTAC dalam usaha menyokong kumpulan ini sebaik saja sektor pelancongan dibenarkan beroperasi semula.
"Malah menerusi Program Inap Desa di bawah MOTAC, difahamkan ia juga banyak diuruskan wanita dan ini menjadi satu kejayaan membanggakan," katanya selepas pelancaran buku Steel Gardenias: Women Leadership-A Malaysian and Global Perspectives.
Nancy berkata, setakat ini, insentif PEMULIH Industri Kraf dengan peruntukan RM9 juta diberikan bermula April lalu, dijangka dapat dimanfaatkan 6,000 usahawan kraf di seluruh negara dengan setiap pengusaha menerima bantuan RM1,500.
"MOTAC sentiasa menyokong usahawan kraf wanita di pedalaman termasuk di Sarawak yang agak sukar dilawati berikutan kawasannya jauh.
"Pegawai MOTAC sentiasa bersedia berkunjung ke kawasan mereka untuk menyampaikan ilmu dan pada masa sama, akan membeli produk kraf dihasilkan untuk dijual di pasaran yang mudah didapati orang ramai.
"Bukan mudah untuk pegawai MOTAC sampai di kawasan itu kerana ia memakan masa sehingga kira-kira lapan jam menaiki kenderaan dan kos menghantar seorang pegawai pergi ke pedalaman juga agak tinggi," katanya.
- TAGS / KEYWORDS: