Sabah keluarkan garis panduan, SOP untuk sektor pelancongan, perhotelan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 8 December 2020
Read News

KOTA KINABALU :

Kerajaan Sabah mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh penggiat sektor pelancongan dan perhotelan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa pada 7 Dis sehingga 20 Dis.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata garis panduan dan SOP itu telah diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, melibatkan aktiviti pelancongan umum, premis penginapan perhotelan dan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata penggiat sektor pelancongan dan perhotelan antara lain perlu memastikan kapasiti 50 peratus bagi setiap kumpulan pelancong pada satu-satu masa mengikut keluasan tempat dan ruangan bas persiaran.

Beliau berkata penggiat sektor itu perlu memastikan setiap pelawat mendaftar menggunakan aplikasi Sabah Trace, MySejahtera dan buku catatan bagi pengesanan kontak rapat, memeriksa suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal serta menggunakan pelitup muka dan cecair basmi kuman.

“Aktiviti pelancongan umum dan premis perhotelan perlu menyediakan garis panduan bagi mencegah penularan COVID-19, manakala penggiat CoBT pula diwajibkan membuat taklimat SOP sebelum sebarang aktiviti dimulakan,” katanya dalam sidang media di sini.

Masidi berkata penggiat sektor terbabit turut diminta melakukan pembersihan dan disinfeksi sekurang-kurang tiga kali sehari di kawasan umum atau yang kerap disentuh, menguruskan sisa buangan dengan teratur, selain membuang pelitup muka ke dalam tong sampah tertutup untuk pelupusan.

Bagi sektor perhotelan, kerajaan negeri membenarkan restoran atau kafe beroperasi, juga mesyuarat dan seminar pada skala kecil dengan had kehadiran separuh daripada ruangan bilik atau tidak melebih 20 orang pada satu-satu masa.

Beliau berkata penggiat industri pelancongan juga digalakkan membuat promosi produk masing-masing secara dalam talian atau alternatif lain yang mampu mengurangkan kontak rapat dengan pelanggan.

 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.